PAGES

Tuesday, June 16, 2015

PROMOSI MAGIC OF THE NIGHT 2015 & FLORIA DIRAJA 2015 BERSAMA KL HOP-ON HOP-OFF (HOHO) DI SEREMBAN




Tourism Malaysia dengan usahasama  Syarikat Elang Wah Sdn Bhd buat julung kalinya telah membawa bas dua tingkat KL Hop-on Hop-Off (HOHO) ke Negeri Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur bersempena dengan acara “Magic of The Night (MOTN)” yang berlangsung dari 28 Mei hingga 31 Mei 2015.
Jelajah ini diadakan sebagai salah satu langkah Tourism Malaysia mempromosikan acara MOTN pada tahun ini.  Bandar Seremban menjadi lokasi persinggahan jelajah ini pada 25 Mei 2015 selepas Bandaraya Melaka. Kompleks Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Malaysia Negeri Sembilan (JKKNNS), Palm Mall Seremban, dan Kompleks Beli Belah Terminal 1 Seremban merupakan hentian bagi jelajah ini.





Kuiz-kuiz pelancongan dan tarian kebudayaan turut dipersembahkan di setiap hentian bagi menarik minat orang ramai dalam memeriahkan program promosi ini. Media-media tempatan turut diberi peluang merasai keunikan bas KLHOHO ini. Turut hadir, Encik Zaidi Kassim (Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan), Encik Hishamuddin Mustafa (Timbalan Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia) dan Encik Muhammad Aiza Zamrose (Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia, Negeri Sembilan). 
 



Jelajah promosi ini bukan sekadar mempromosikan Magic Of The Night sahaja, malah Tourism Malaysia Negeri Sembilan turut mengambil peluang mempromosikan Festival Pantai Port Dickson 2015 anjuran Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) yang akan berlangsung pada 4-7 Jun 2015 di Pantai Saujana Port Dickson. Sebanyak 28 acara telah dirancang bagi memeriahkan festival tersebut. Maklumat lanjut bagi acara ini boleh menghubungi pejabat LPNS di talian 06-7659725/34.
 

Bas KL HOHO yang kini beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan dibawa khas ke Putrajaya untuk digunakan sebagai bas pengantara bermula dari Putrajaya Sentral melalui kawasan-kawasan perumahan Putrajaya ke tapak acara MOTN bermula dari 28 Mei – 31 Mei 2015. Perkhidmatan ini diberikan secara percuma.

MOTN ini diadakan selama 4 hari berturut-turut bermula 28 Mei hingga 31 Mei 2015 di Marina Putrajaya manakala Floria Diraja Putrajaya 2015 bermula 30 Mei 2015 hingga 7 Jun 2015. Sebanyak 16 bot berhias akan dapat disaksikan oleh para pengunjung pada setiap malam sepanjang Magic Of The Night diadakan. Penyertaan bot kali ini termasuk daripada kesemua negeri di Malaysia serta Perbadanan Putrajaya, Tourism Malaysia dan penampilan istimewa dari salah satu daerah Negara China, Suzhou.





Bagi memeriahkan lagi acara MOTN ini Tourism Malaysia dengan kerjasama 9 Agensi Pelancongan telah membangunkan sebanyak 25 pakej pelancongan bersempena MOTN 2015 dengan harga serendah RM65 (Pelayaran Remang Senja oleh Inter Orient Travel & Tour Sdn Bhd) sehingga RM315.30 (Glorious 1 Magic Of The Night oleh Farhan Travel & Tours Sdn Bhd). Pakej boleh di dapati di Facebook Cuti-cuti 1 Malaysia dan facebook Malaysia Truly Asia.
Majlis Perasmian acara ini telah diadakan pada 29 Mei 2015 (Jumaat) oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz, manakala Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah akan disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 31 Mei 2015 (Ahad).
Magic of the Night 2015 di Marina Putrajaya bermula jam 5.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari. Orang ramai juga dijemput hadir dan masuk adalah percuma. 

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments much appreciated !